Pada 1/12 yang lepas, kawan-kawan lama saya dari Selayang datang tidur dirumah saya yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor. Keesokan harinya, kami ingin pergi ke Rawang dengan menaiki tren, berikutan ayah saya tidak dapat menghantar kami ke Rawang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Dari rumah saya, perjalanan untuk pergi ke KTM Batang Kali bukan lah dekat. Mujurlah ada kakak saya yang kebetulan hendak pergi ke tempat kerja. Jadi, kami menumpang dia sehingga ke Rawang. Ya, satu masalah sudah selesai.
Pada petang itu, kami balik seperti biasa. Menaiki tren di Rawang sehingga ke Batang Kali. Tapi, masalah lain pula yang datang. Sesampainya kami di KTM Batang Kali, kami tiada pengangkutan untuk balik ke rumah. Tak mungkin kami mahu berjalan kaki. Di rumah saya pula, tidak ada sesiapa yang boleh mengambil kami. Kami buntu. Dan kemudian saya teringat akan teksi sapu yang ada di KTM Batang Kali itu. Ya, kami sedikit risau untuk menaiki teksi yang tidak diiktiraf itu. Kami perempuan dan baru berumur 14 tahun. Namun, kami gagah kan juga. Kami menunggu teksi sapu hampir setengah jam di KTM Batang Kali. Dan dalam masa setengah jam itu jugalah, keresahan dihati kami tak mampu digambarkan. Jam ditangan sudah menunjukkan jam 9.30.
Kemudian, ada sebuah van lusuh datang. Saya memberanikan diri pergi bertanya. "Pakcik, ini teksi ke?" Dan pakcik itu menjawab, "Ya, naiklah" Kemudian kami naik. Sepanjang perjalanan itu, kami sedikit gelisah. Takut jika dibawa ke tempat yang tidak sepatutnya dibawa. Akhirnya, kami selamat sampai ke rumah dan membayar RM2 setiap seorang.
Mungkin harga itu murah jika difikirkan jarak jauh antara KTM Batang Kali ke rumah saya. Namun, keselamatan itu, tak semua terjamin. Jika anda menjadi ibu bapa, dan anak perempuan anda menaiki teksi sapu yang tidak diiktiraf itu pada waktu malam begini, apakah perasaan anda? Gelisah bukan?
Untuk pengetahuan anda semua, di Batang Kali, tiada satu pun teksi yang diiktiraf oleh kerajaan. Sebiji teksi pun tiada. Sedangkan di Rawang berpuluh-puluh teksi menunggu penumpang. Mengapakah hal sebegini terjadi? Ini adalah kemudahan asas yang semua orang perlukan.
Ditepi-tepi jalan seperti kereta wira itulah, teksi sapu yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dan hanya menggunakan kereta sendiri untuk mencari makan
Begitu juga dengan bas. Jika ada pun bas di Batang Kali ini, bas mini yang kerap kali mengambil penumpang. Bas inilah yang penduduk sini harapkan sebagai pengangkutan awam untuk ulang-alik ke suatu tempat. Dengan keadaan bas itu yang seakan-akan hanya tunggu mati ditengah jalan. Tiada penghawa dingin. Dan hanya tingkap, yang menjadi 'penghawa dingin' kepada penumpang. Penduduk disini hanya bermimpi jika berharap bas-bas yang sering kali kita naiki seperti Metro Bas ada di Batang Kali ini.
Bas mini yang tiada penghawa dingin. Keadaan yang tidak selesa didalamnya dan terdapat banyak pekerja-pekerja asing yang menaiki bas ini seperti Bangladesh dan Myanmar
Saya terfikir kenapa di Rawang, mahupun di Selayang, begitu banyak bas dan teksi yang melebih-lebih di atas jalan raya sampai satu bas itu tiada penumpang yang hendak diisi. Tapi disini tiada? Penduduk disini bernasib baik kerana ada KTM Batang Kali yang boleh menghubungkan mereka dengan tempat-tempat yang jauh seperti Tg Malim dan Seremban. Namun, KTM sahaja tidak cukup. Pihak berkuasa patut sedar akan hal itu. Mungkin saya hanya remaja yang tidak tahu apa-apa tentang ini. Tapi saya ada hak untuk mengadu tentang hal ini.
Kemudian, kakak saya hendak membayar yuran pengajiannya di Bank Islam. Malangnya, di Batang Kali juga tiada Bank Islam. Kami terpaksa ulang-alik ke Rawang semata-mata ingin membayar yuran pengajian. Kali pertama kami pergi, kami terlambat dan Bank Islam telah pun tutup pada jam 5 petang. Kali kedua kami pergi, begitu juga. Kami kerap kali terlambat. Dan 2 kali itu jugalah kami pulang dengan hampa. Kali ketiga kami pergi, kami bertolak awal. Malangnya, kami tidak mengetahui bahawa hari itu Selangor cuti umum dan Bank Islam juga tutup. Kami hampa. Kami sudah tidak larat menghabiskan duit untuk mengisi minyak kereta dan mengulang-alik dari Batang Kali ke Rawang. Jika dekat, kami tidak kisah sama sekali. Tetapi, jarak perjalanan dari Batang Kali ke Rawang adalah 28 km! Jika ulang-alik dah 56 km! Bayangkan berapa liter minyak sudah dihabiskan disitu. Alhamdullillah, akhirnya kakak saya dapat juga membayar yuran pengajiannya pada keesokan hari.
Harap Bank Islam menubuhkan cawangannya di Batang Kali
Kekurangan kemudahan asas boleh menyusahkan penduduk disini. Batang Kali kini bukanlah hanya kampung atau bandar kecil sahaja. Kini Batang Kali sedang membangun dengan pesat dengan terbinanya berpuluh-puluh bangunan. Justeru itu, dengan terbinanya bangunan-bangunan ini, penduduk disini juga akan semakin bertambah. Dan kemudahan asas yang sepatutnya ada ini, amat penting untuk penduduk disini. Penduduk disini juga inginkan layanan yang adil sepertimana di bandar-bandar dan ditempat lain. Harap pihak berkuasa menyedari tentang hal ini. Sekian.
No comments:
Post a Comment